Pisang

 

 

Menurut kajian penyelidik tempatan, 100 gram pisang menyediakan 1.2 gm protein, 0.3 gm lemak, 17 mg kalsium, 78 mg karotena, 88 mg kalium, 27.2 gm karbohidrat, 0.4 gm serabut, dan 116 kcal tenaga.

 

Pisang juga mengandungi asid, enzim, dan sebatian kimia penting. Ia juga mengandungi tiga jenis gula semulajadi iaitu sukrosa, fruktosa, dan glukosa. Gula semulajadi ini amat penting untuk kanak-kanak yang sedang membesar.

 

Selain itu, menurut Persatuan Pisang Antarabangsa, pisang juga mengandungi magnesium, fosforus, iodine, kuprum, vitamin B1, B2, B6 & C, niasin, dan folat.

 

 

Penyelidikan yang dijalankan membuktikan dua biji pisang boleh membekalkan tenaga untuk kita melakukan kerja atau senaman berat selama 90 minit.

Selain itu dalam perubatan traditional, jantung pisang dianggap elok untuk pelbagai organ dalam badan seperti jantung, hati, paru-paru dan limfa.

Pisang juga boleh membantu dalam keadaan kesihatan tertentu:

  1. Darah tinggi dan strok - pisang membantu menurunkan tekanan darah tinggi kerana kandungan potasiumnya yang tinggi.
  2. Kolestrol - pisang rendah dari segi kalori lemak, sodium yang membantu merendah kolestrol.
  3. Cirit-birit - potasium dan magnesium yang terkandung di dalam pisang amat sesuai merawat orang yang mengalami cirit-birit.
  4. Anaemia - anaemia ialah penyakit kurang darah. Kerana pisang kaya dengan zat besi, ia boleh merangsang penghasilan haemoglobin di dalam darah.
  5. Kemurungan - orang yang sedang murung lebih cepat ceria apabila makan pisang. Ini kerana kandungan sejenis protein membantu kita menjadi tenang.
  6. Pening-pening - cara paling cepat merawat rasa pening-pening ialah dengan meminum minuman susu pisang kocak (banana milkshake) yang dicampur madu. Minuman ini bukan sahaja merawat malah sedap pula.

Bagaimanapun, pisang tidak sesuai bagi pesakit kencing manis. Ini kerana kandungan gula di dalam pisang adalah tinggi. Terdapat 25 gram gula setiap 126 gram pisang (19.85%) 

Kegunaan Daun Pisang: Selain dijadikan “payung” turut digunakan untuk membungkus nasi lemak, membungkus kuih muih dan pelbagai makanan tradisional disebabkan ianya mengeluarkan bau yang wangi dan menyelerakan.

Selain itu dalam perubatan tradisional, para bomoh adakalanya menggunakan daun pisang dalam upacara mereka.

 

Batang pisang pula boleh digunakan untuk membuat rakit.

Selain itu batang pisang mempunyai gentian yang banyak dan boleh diproses secara perdagangan untuk membuat tali dan bahan seumpamanya seperti guni.

Salah satu masakan tradisional Masyarakat Dusun di Sabah ialah “Sup Umbut Batang Pisang” iaitu menggunakan umbut pisang dan dimasak sup. Ianya sungguh sedap hinggakan walau direbus kosong begitu sahaja pun amat menyelerakan bagi pengemarnya.

 

Jenis pisang

 

    * Pisang Abu

    * Pisang abu keling

    * Pisang awak

    * Pisang Berangan

    * Pisang Benggala (Galla)

    * Pisang Kari

    * Pisang Kelat Keling

    * Pisang Khaki

    * Pisang Lemak Manis

    * Pisang Lidi

    * Pisang Mas

    * Pisang Merah

    * Pisang Nangka

    * Pisang Nipah

    * Pisang Putar

    * Pisang Rastali

    * Pisang Serendah

    * Pisang Susu

    * Pisang Talang

    * Pisang Tanduk

    * Pisang Tanduk Raja

    * pisang teratai

    * Pisang Bunga

    * Pisang Embun

    * Pisang Kapas

 

 

CATATAN PENTING: Artikel ini hanyalah informasi sahaja dan bukan nasihat kesihatan