Orang ramai berpeluang menyaksikan Gerhana Penuh Bulan pada 10 Dis 2011 bermula pada jam 7:34 malam hingga 1:30 pagi berikutnya (11 Dis 2011). Gerhana bulan terjadi apabila kedudukan bulan, bumi dan matahari berada dalam keadaan selari dalam ertikata lain bumi melindungi cahaya matahari keatas bulan. Bayangan gelap yang dapat dilihat pada permukaan bulan pada masa itu sebenarnya bayangan bumi dan ianya terdiri daripada dua jenis bayangan iaitu Penumbra dan Umbra. Beza antara dua bayangan ini ialah Penumbra tidaklah segelap umbra dan biasanya hanya bayangan umbra yang dapat dilihat dengan menggunakan mata kasar. Oleh itu fasa boleh nampak dengan menggunakan mata kasar hanya bermula pada jam 8:46 malam.
Ketika itu bulan yang pada mulanya gerhana akan perlahan lahan menjadi seakan bulan sabit dan akhirnya menjadi gelap keperang-perangan (dark silver) sepenuhnya pada jam 10:06 malam dimana ketika itu, bulan telah mula memasuki sepenuhnya bayangan umbra bumi. Bulan kembali menjadi sabit pada jam 10:57 malam dan kembali purnama pada jam 12:18 tengah malam dan gerhana ini hanya akan berakhir apabila bulan meninggalkan sepenuhnya bayangan penumbra bumi pada jam 1:30 pagi, sementara kemuncak gerhana ialah pada jam 10:32 malam. Sementara itu sebagai panduan bagi menunaikan Solat Sunat gerhana Bulan, Umat Islam boleh melakukan solat sunat ini bermula pada jam 7:32 malam hingga 1:30 pagi.
Gerhana kali ini akan mempersembahkan bulan menjadi gerhana sepenuhnya selama 51 minit 8 saat berbanding gerhana penuh bulan pada 16 Jun 2011 lalu selama 1 jam 40 minit 52 saat. Gerhana kali ini akan dapat disaksikan di hampir 2 per 3 kawasan dunia kecuali kawasan Benua Amerika Selatan dan sebahagian Pantai Barat Benua Afrika dan seluruh Lautan Atlantik termasuk Kutub Selatan.
Bagi memudahkan orang ramai melakukan pencerapan (melihat menggunakan teleskop) terhadap fenomena ini, Pusat Sains Lingkudau (PUSKAL) dengan kerjasama Unit Sains Dan Teknologi di Jabatan Ketua Menteri Sabah (UST) akan melakukan pencerapan yang boleh disertai oleh orang ramai di Dewan Hashim Kg Lingkudau Pekan Ranau bermula pada jam 7:00 malam sementara pihak Jabatan MUFTI Sabah akan melakukan pencerapan di Balai Cerap Al-Beruni.
Sehubungan itu, PUSKAL & UST akan turut membuka pameran sains dan teknologi di Dewan Hashim Lingkudau Ranau bermula jam 10 pagi hingga 10 malam bermula pada 8 Dis - 12 Dis yang turut memasukkan acara pencerapan langit malam pada setiap hari bermula pada jam 7:00 malam hingga 10 malam Setiap hari. PUSKAL & UST akan menyiarkan fenomana gerhana penuh bulan ini melalui laman web WWW.Lingkudau.net pada masa gerhana berlaku dan "replay" akan disiarkan di Dewan Hashim Lingkudau Ranau pada hari berikutnya. Hotline PUSKAL : 0128660187 |
||||||||||||||