Sukarelawan Lingkudau Ranau Yang Keras Kepala Dan Kebalan

 

Pemuda Kampung Lingkudau Ranau yang terlibat sebagai Sukarelawan Bulan Sabit Merah Malaysia Dan Pasukan Sukarelawan Bomba Dan Penyelamat Lingkudau sekali lagi telah "menelan malu dan menebalkan muka" apabila terlibat dalam usaha membantu mangsa  bencana kebakaran di Pekan Ranau pada penghujung April 2009 lalu.

Dalam kebakaran tersebut, seramai hampir 100 orang mangsa terlibat yang melibatkan sebaris rumah sewa yang disewa oleh 10 orang keluarga.  Mangsa kebakaran ini  kebanyakannya ialah "warga asing" tetapi Sukarelawan Lingkudau tetap menghulurkan bantuan kerana mereka sememangnya telah dilatih untuk menghulurkan bantuan tanpa dipinta dan tanpa mengira sempadan bangsa dan negara.

KOMEN PENGERUSI: Jangan puji ni Pemuda Lingkudau, tetapi ikutilah langkah mereka dengan membiasakan diri "menelan malu, menebalkan muka", kenapa? tepuklah dada tanya akal...ngam ka tidak?

Gambar KIRI dan BAWAH: Azri Husni Jasni menyampaikan bantuan asas kepada wakil mangsa kebakaran.

Sebenarnya memang cita-cita JKKK Lingkudau ingin melihat generasi muda di kampung ini terlibat dalam kerja-kerja kemanusiaan dan kebajikan, menerusi aktiviti seumpama ini diharap golongan muda ini akan menjadi contoh dan ikutan masyarakat masa kini dan hadapan.

Dalam kebakaran yang berlaku pada penghujung April 2009, suatu contoh buruk dan baik dapat disaksikan sendiri oleh pasukan ini apabila menyaksikan sikap segelintir manusia yang cakap "....biar ja ba tu, PTI ga, ...ngam la tu". Bahkan ada sesetengah manusia yang seakan-akan menghalang kelancaran pasukan bomba menjalankan tugas. Memang sikap mereka ini tidaklah ketara, tetapi dapat difahami apabila mereka tidak memperdulikan pasukan bomba yang tengah bekerja dan buat-buat tidak tahu sahaja...bahkan ada diantara mereka yang sengaja memandu kenderaan mereka melintasi hos bomba yang melintang jalan. Akhirnya tindakan kurang bertanggungjawab manusia ini berjaya dihalang oleh sukarelawan Lingkudau apabila mewujudkan sekatan jalan dan sekaligus menghentikan aliran kenderaan keluar masuk ke stesen minyak yang dilalui oleh kenderaan awam.

Dalam kes ini, Sukarelawan Lingkudau mempelajari akan nilai kemanusiaan yang semakin pupus dihati segelintir manusia. Selain itu, pasukan ini juga mempelajari bagaimana "menahan malu dan menebalkan muka" apabila turut mendengar sumpah serana makhluk melata yang pandai berkata-kata tetapi kurang nilai kemanusiaan, bahkan sukarelawan ini berani menanggung risiko apabila "menghentikan operasi" salah sebuah stesen minyak, demi keselamatan dan kebaikan bersama.

Selain daripada "sumpah serana" dan "kata-kata hikmat" yang mengisi minda semasa kebakaran berlaku, diharap amalan murni kemanusiaan seperti ini akan menguatkan semangat dan tekad Sukarelawan Lingkudau untuk terus berkhidmat kepada masyarakat tanpa mengira sempadan.

 Ini pemuda Lingkudau cakap "sumpah serana tidaklah sepedih hati melihat sikap manusia yang kurang akal"